Tuesday, December 28, 2010

kematian.


"setiap yang bernyawa pasti akan merasai maut"


Saya kira, ayat 185 surah Ali 'Imran ini cukup keramat. Cuba bisikkan di telinga rakan anda yang sedang tidur, atau lebih baik yang sedang tidur dalam kelas. Dan perhatikan. Apakah dia akan terus melayan nikmat mati kecil itu, atau akan melompat bangun?

Ayat ini memang cukup keramat.
Ketika di sekolah menengah, Al-Fadhil Ust. Affandi akan membisikkan ayat ini di tepi telinga mereka yang tidur, untuk membangunkan mereka yang tidur, tidak kiralah untuk solat subuh atau mereka yang tidur dalam kelas. Ajaib, mungkin roh mereka masih takut-takut untuk tinggalkan dunia, lalu cepat-cepat kembali ke jasad.

Dan saya sendiri, andai tertidur ketika sambil mendengar nasyid, akan bingkas terbangun, saat track yang bermula dgn ayat tersebut berputar.

Kerana ayat tersebut berkait rapat dengan kematian.
Dan seputar pengalaman saya, ramai rakan-rakan yang akan mengelak apabila saya cuba masuk ke topik kematian.

Saya juga manusia. Saya juga pernah kehilangan mereka-mereka yang saya sayangi.

Tika umur saya 9 tahun, saya kehilangan kucing hitam kesayangan saya, yang mati kerana dipatuk ular. Dan dia dipatuk kerana cuba menyelamatkan saya dari dipatuk. Seminggu saya menangisi pemergiannya.

Tika umur saya 12 tahun, saya kehilangan datuk saya. Yang saya kira, adalah tunjang keluarga kami. Titik perpaduan keluarga besar kami. Pelindung kami dan sebagainya. Bukan saja pada kami, bahkan penduduk kampung. Beliau merupakan seorang yang amat terpercaya hinggakan ketika balai raya belum dibina, rumah beliau lah yang dipilih untuk disimpan aset-aset kampung.

Garang? Memang garang. Tapi beliau penyayang.
Itulah sebabnya saya sangat menangisi pemergian beliau. Sejak beliau disahkan meninggal dunia jam 4 pagi, saya berada di sampingnya, membaca yasin, hingga ke subuh. Selepas subuh, saya tertidur, dan beliau datang dalam mimpi saya memberi beberapa amanat.

Terjaga dari tidur, saya kembali ke sisi beliau membacakan yasin berulang kali hingga jam 12. Saya tak rasa ada apa-apa yang mampu saya sumbangkan untuk beliau yang terlebih awal mendahului kami. Hanya yasin dengan tajwid yang sumbang itulah saya hulurkan.

Apabila jenazah mula diuruskan, saya tidak dibenarkan untuk memandikan beliau dengan alasan saya masih kecil. Mengimamkan apatah lagi. Itulah nasib saya, memerhati dengan rantaian doa yang tidak putus-putus moga beliau mendapat bekalan pahala yang tidak terbilang.

Selesai pengkebumian, saya demam beberapa hari.

Saya bukanlah seorang yang superstitious untuk percaya pada mimpi, namun beliau beberapa kali menjelma ke dalam mimpi saya, memberi beberapa peringatan. Apa yang baik, saya ambil sebagai pelajaran, dan yang berselirat, saya letak di tepi. Mungkin ada maksudnya di masa hadapan.

Ketika tingkatan 2, datuk datang ke dalam mimpi saya namun tidak mengatakan apa-apa. Saya menceritakan kepada emak, dan emak hanya berkata,
"Mungkin ada apa-apa yang tokbit tinggalkan kat Bang Mi, tapi bangmi tak baca/guna"

Ahah. Quran buruk tu.
Sahabat-sahabat. Itu alasan saya, untuk menggunakan Quran buruk itu hingga ke hari ini.

Kali terakhir beliau menjenguk saya adalah ketika semester 2 Darul Quran. Seingat saya, itu adalah dalam tempoh sebulan atau dua bulan sebelum emak jatuh sakit.

Dalam mimpi itu, beliau datang menunggang motor buruknya yang kelihatan berkilat, seperti baru. Namun saya kenal bentuk motor yang selalu digunakan untuk membawa saya bersiar-siar keliling kampung. Beliau keluar dari cahaya dari atas tasik Darul Quran, perlahan menuju ke kami sekeluarga. Saya lihat, dalam bakul motorsikalnya, ada sayur-sayuran yang segar. Saya ingat untuk kami, tapi beliau tidak pernah menghulurkan kepada kami.

Emak memeluk ayahnya serapat mungkin, dan saya faham kerinduan yang melanda mereka.
Kemudian mereka bercakap-cakap. Kemudian datuk berkata-kata kepada ayah, sesuatu yang sangat menyentap hati saya. Ayah hanya tersenyum, seolah-olah sangat redha. Tapi saya pula yang berkecamuk.

Namun melihat wajah datuk yang sangat tenang dan bercahaya, saya semakin redha.
Dan kemudian beliau berlalu pergi kembali kedalam cahaya.

Andai kalian tahu apa yang diperkatakan datuk kepada emak saya, dan emak saya melonjak girang, dan andai kalian tahu apa yang diperkatakan kepada ayah saya, yang membuat ayah senyum redha, saya kira kalian menipu andai kalian tidak menitiskan airmata.

Namun, pembaca sekalian,

Cerita itu bukanlah fokus saya.
Fokus saya adalah untuk kita sama-sama bersedia menerima kematian.

Mungkin ibu kita, mungkin ayah kita.
Tapi paling penting diri kita.

Saya tanamkan dalam diri, "tak guna aku mengiringi pemergian mereka dengan airmata".

Dan saya menyeru rakan-rakan sekalian,
agar kita tidak terlalu menangisi yang telah pergi.

Tangisan kita hanya akan membuat mereka tersiksa.
Hadiahkanlah kuntuman doa, dan pahala.
Kita adalah anak, maka jadilah anak yang soleh.
Kerana kita adalah penyelamat mereka di waktu mereka terputus hubungan dengan dunia.

Andai mereka tinggalkan apa-apa yang andai kita manfaatkan, akan menyumbang pahala kepada mereka, maka gunakanlah. Sekurang-kurangnya kita tahu, yang pahala masih mengalir ke dalam akaun akhirat mereka.

Dan kita, bersedialah untuk kematian. Mungkin Izrail sedang menunggu anda habis membaca artikel ini untuk membawa anda ke sana.

6 comments:

Afuan Shah said...

salam..nice sharing...
alfatihah buat arwah atok awak

pdaus said...

quran itu saya selalu nampak tuan baca kat bilik time first sem at cfs...amazing.your grandpa visit you in dream.tinggi....

ieraros said...

mlm tdi jiran sbelah rumah, bru 14 thn mninggal dunia..bru kebumi lpas subuh tdi.
al-fatihah for him & your late atok
-kematian itu ckup2 menginsafkn

Syed Mohd Syahmi said...

@afuan :
kalau nice tu, sebab pembaca mcm awk :)

@firdaus :
ehh..tgk saje? :p
mimpi aku ni bole jadi gangguan syaitan..bukan mcm maulana :)

@nazierah:
betul tu. menginsafkan bagi mereka yang punya iman.
bila yang muda2 meninggal, terasa Tuhan begitu sayangkan dia, taknak dia hidup atas dunia yang penuh fasad. apa dosa kita terlalu banyak, hingga Allah lebih sayangkan dia dari kita?

N.F.A said...

^_^

Anonymous said...

; betul,tak guna mengiringi pemergian mereka yg telah pergi dengan air mata.sebaliknya,kuntuman doa buat mereka lebih baik. Al-Faatihah buat datuk kamu dan mereka yang telah kembali menemui ya Rabb...