Sunday, December 7, 2008

Syiah, Sunni dan Barat..menurut Tantawi..

Anti-Islam: Jangan mudah hukum Barat
Utusan Malaysia:: 11 Mac 2008 / 3 Rabiul Awal 1429

Laporan MARHAINI KAMARUDDIN, SAIFULIZAM MOHAMAD dan WAN SYAMSUL AMLY
KUALA LUMPUR 16 Feb. – Dunia Islam tidak harus terlalu mudah menghukum semua masyarakat Barat membenci Islam kerana masih terdapat sebahagian daripada mereka menghormati agama suci itu.

Syeikhul Al-Azhar, Dr. Muhammed Sayyid Tantawi berkata, tuduhan seumpama itu tidak adil kerana sifatnya berat sebelah, sekali gus tidak menggambarkan keadaan yang sebenar khususnya kepada mereka yang pro-Islam.

Sehubungan itu beliau meminta, pendapat yang terlalu umum mengenai hubungan antara Islam dan Barat perlu dielakkan supaya tidak berlaku salah faham.

‘‘Pada tahun ini kira-kira 3,000 pelajar di Universiti Al-Azhar yang berasal dari negara-negara bukan Islam (negara-negara Barat) telah memeluk Islam dan ini menunjukkan tidak semua masyarakat Barat membenci Islam. Kejayaan ini amat membanggakan kita.

‘‘Mereka memeluk Islam kerana yakin dengan Islam. Oleh itu kita perlu menunjukkan kepada pihak Barat cara Islam yang sebenarnya,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Dakwah dan Pengurusan Islam) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang disampaikan Canselornya, Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin.

Tantawi berkata, selain memberi contoh yang terbaik, setiap umat Islam juga bertanggungjawab mempertahankan ajaran agama suci itu daripada diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

‘‘Ini bukan tanggungjawab pihak tertentu sahaja tetapi juga semua (penganut) Islam,” ujarnya.

Mengenai isu perselisihan pendapat antara Ahli Sunah Wal Jamaah dan Syiah, beliau berkata, selagi semua pihak berpegang kepada akidah yang sama, mengakui kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. dan semua nabi serta mengiktiraf sahabat-sahabat Rasulullah, perbezaan yang berlaku itu tidak harus menjadi punca perpecahan.

‘‘Bagi saya tiada bezanya antara Ahli Sunah dan Syiah kerana kedua-duanya masih berpegang kepada akidah yang satu dan kita semua tetap bersaudara,” katanya lagi.

Ditanya mengenai langkah kerajaan Iran membina teknologi nuklear bagi tujuan menjana tenaga elektrik, Tantawi berpendapat setiap program yang memberi manfaat kepada rakyat hendaklah disokong.

‘‘Apa jua projek yang tidak memudaratkan rakyat, hendaklah disokong sepenuhnya,” ujarnya lagi.

2 comments:

Anonymous said...

tenteradajjal.blogspot.com

Anonymous said...

Ya, selagi kita mengucapkan kalimah syahadah yang sama, kita tetap bersaudara. dan kita hendaklah menghormati antara satu sama lain.

Jgn jadi macam Wahhabi. Merekalah yang memecah-belahkan kita. Dan malangnya, mereka inilah yang 'memelihara' dua tanah suci, iaitu arab Saudi.